MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB KELIMA: MUKTAMAR DAN MESYUARAT AGUNG (samb)

FASAL 18. Mesyuarat Agung PAS Kawasan

(1) Adapun gerakan dan pentadbiran sebuah kawasan PAS itu adalah dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu di bawah kekuasaan Majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu. Akan tetapi Majlis Mesyuarat Agung itu sendiri adalah tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS dan juga Aturan dan Peraturan mesyuarat kawasan itu.

(2) (a) Sesebuah Kawasan hendaklah mengadakan Majlis Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan Februari, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua kawasan itu ataupun dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.
(b) Mesyuarat Agung Khas Kawasan bolehlah diadakan pada bila-bila masapun jika dikehendaki oleh Yang Dipertua Kawasan itu, atau dengan kehendak, sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah cawangan-cawangan atau daripada ahli-ahli kawasan itu. Maka dalam Mesyuarat Agung Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa selain daripada perkara yang kerananya Mesyuarat Agung Khas itu diadakan.
(c) Notis Mesyuarat Agung Tahunan kawasan dan Mesyuarat Agung Khas Kawasan hendaklah dihantar kepada perwakilan dalam tempoh 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan dengan menyertakan agenda, laporan dan penyata kewangan yang telah diodit.

(3) Ahli-ahli bagi Mesyuarat Agung Tahunan/Khas PAS Kawasan itu adalah mengandungi :
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.
(c) Ketua-ketua Cawangan PAS dalam Kawasan itu,
(d) Wakil-wakil daripada dan diangkat oleh cawangan-cawangan dalam Mesyuarat Agungnya sebanyak mana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Kawasan itu, dan
(e) Lima belas orang wakil dari Dewan Pemuda dan Lima belas orang wakil di Dewan Muslimat PAS Kawasan yang diangkat dan dilantik oleh mesyuarat Agung Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan itu termasuk Ketua dan Setiausaha Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat kawasan itu.

(4) Dengan dikecualikan ceraian (3)(b) Fasal ini, maka cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu hendaklah satu pertiga daripada ahli-ahli mesyuarat agung itu hadir.

(5) Pengerusi mesyuarat agung itu ialah Pengerusi Tetap PAS Kawasan atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun atau pada Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan yang ada pemilihannya.

(6) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan hendaklah mengangkat tidak kurang daripada empat orang dan tidak lebih 10 orang wakil ke Muktamar Tahunan PAS mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Fasal 19(5) Perlembagaan ini. [Pindaan 2009]

(7) Segala keputusan Mesyuarat Agung itu hendaklah dihantar ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri/Wilayah dan Pejabat Agung PAS untuk pengetahuannya.

FASAL 21 (Fasal lama 19). Mesyuarat Agung PAS Cawangan

(1) Sesebuah Cawangan itu hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya hendaklah sebelum berlangsungnya Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan. Satu notis mesyuarat hendaklah dihantar kepada ahli dalam tempoh 14 hari dari tarikh mesyuarat hendak diadakan.

(2) Mesyuarat Agung Khas bolehlah diadakan pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Cawangan itu atau dengan kehendak sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah ahli dalam Cawangan itu termasuk Ahli-ahli Jawatankuasa Kerjanya.

(3) Ahli-ahli bagi Mesyuarat Agung PAS Cawangan itu ialah :
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.
(c) Ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.

(4) Satu pertiga daripada ahli-ahli di atas termasuk Jawatankuasa Kerja Cawangan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Agung itu.

(5) Pengerusi bagi Mesyuarat Agung itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan yang ada pemilihannya.

(6) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan hendaklah mengangkat sejumlah wakil mengikut yang ditetapkan oleh PAS Kawasan ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan. [Pindaan 2009]

(6) Segala perkara yang diputuskan dan yang berbangkit di dalam Mesyuarat Agung itu hendaklah dimaklumkan kepada PAS Kawasan dan Perhubungan PAS Negeri.

FASAL 22 (Fasal lama 20). Tugas dan Kekuasaan Muktamar dan Mesyuarat Agung PAS

Adapun tugas dan pekerjaan Muktamar dan mesyuarat-mesyuarat agung PAS itu ialah:
(1) Mengesahkan peringatan Muktamar atau Mesyuarat agung yang lalu.

(2) Membentang dan menerima penyata-penyata dan laporan-laporan kewangan dan perjalanan tahunan PAS.

(3) Memilih Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan PAS.

(4) Memilih Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang pemeriksa Kira-kira mengikut Perlembagaan.

(5) Mengangkat wakil-wakil ke Muktamar/Mesyuarat Agung yang lebih tinggi mengikut peruntukan Perlembagaan ini. [Pindaan 2009]

(6) Membahas ucapan dasar di peringkat kebangsaan.

(7) Membahas usul-usul dan resolusi-resolusi.

(8) Ucapan-ucapan penangguhan.

(9) Lain-lain perkara yang ditetapkan oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja masing-masing.

2 comments:

  1. Mohon pencerahan mengenai siapa yang boleh mencadang/ menyokong sesuatu:
    1-Minit Mesyuarat yang lalu.
    2-Usul
    3-Penyata kewangan

    ReplyDelete
  2. Mohon pencerahan mengenai siapa yang boleh mencadang/ menyokong sesuatu:
    1-Minit Mesyuarat yang lalu.
    2-Usul
    3-Penyata kewangan

    ReplyDelete