MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEBELAS: KEWANGAN DAN PEMEGANG AMANAH (samb.)

FASAL 76 [FASAL 69 (lama)]. Peraturan Kewangan

(1) Adapun tahun kewangan PAS itu ialah dari 1hb Januari hingga31hb Disember pada tiap-tiap tahun.

(2) Hendaklah diadakan sebuah Jawatankuasa Kecil yang dinamakan Jawatankuasa Kewangan :
(a) Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari PAS Pusat hendaklah dengan sendirinya menjadi ahli Jawatankuasa Kewangan itu dengan Presiden sebagai Pengerusinya.
(b) Jawatankuasa Kewangan itu hendaklah bertanggungjawab bagi mehyediakan rancangan-rancangan bagi memperbaiki, menambah dan meneguhkan kewangan PAS dari masa ke semasa dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil bagi perlaksanaan dan kejayaannya.
(c) Jawatankuasa Kewangan itu hendaklah bertanggungjawab atas penyediaan sebarang penyata kewangan untuk dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi disahkan, setelah diperiksa oleh pemeriksa Kira-kira.
(d) Jawatankuasa ini adalah berkuasa meluluskan tiap-tiap perbelanjaan yang tidak melebihi daripada RM 30,000.00. Adapun tiap-tiap perbelanjaan yang melebihi daripada RM 30,000.00, maka ia hendaklah diluluskan mengikut kehendak-kehendak terkandung dalam Fasal 76(6).

(3) Kuasa Menandatangani Cek
(a) Wang Pejabat Agung hendaklah disimpan dalam mana-mana bank yang dipersetujui mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari PAS Pusat adalah berkuasa menandatangani cek-cek Pejabat Agung tandatangani dua orang dari pegawai ini adalah sah dengan syarat seorang daripadanya ialah Bendahari PAS Pusat.
(b) Wang Perhubungan PAS Negeri bolehlah disimpan di dalam mana-mana bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Harian PAS Negeri. Pesuruhjaya atau seorang Timbalannya, mengikut mana yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Perhubungan, Setiausaha Perhubungan dan Bendahari Perhubungan adalah berkuasa menandatangani cek-cek Perhubungan Negeri, tandatangan dua orang dari pegawai ini adalah sah dengan syarat seorang daripadanya ialah Bendahari Perhubungan.
(c) Adapun berkenaan dengan wang PAS Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan, Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Negeri dan Kawasan hendaklah disimpan di mana-mana-mana bank yang ada mengamalkan sistem perbankan Islam yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja masing-masing, demikian juga berkenaan dengan kuasa menandatangani cek-cek masing-masing adalah sama kaedahnya dengan Ceraian (3)(a) dan (3)(b) Fasal ini mengikut mana yang sesuai.

(4) Wang Tunai Di Tangan
(a) Bendahari PAS Pusat dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM 1,000.00. Bendahari Perhubungan Negeri, Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri masing-masing dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM500.00. Segala perbelanjaan yang lebih dari itu hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Jawatankusa Harian masing-masing.
(b) Bendahari PAS Kawasan, bendahari Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM300.00. Sebarang prbelanjaan yang lebih dari itu hndaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerja masing-masing.
(c) Bendahari PAS Cawangan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM200.00 dan segala perbelanjaan yang lebih dari itu hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu.
(d) Setiausaha Agung, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Setiausaha Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri dibenarkan menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM500.00 untuk perbelanjaannyang tidak ditetapkan.
(e) Setiausaha PAS Kawasan, Setiausaha Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan dibenar menyimpan wang tunai di tangan tidak lebih dari RM300.00 untuk perbelanjaan yang tidak ditetapkan.
(f) Setiausaha PAS Cawangan dibenarkan menyimpan wang tunai di tangannya tidak lebih dari RM200.00 untuk perbelanjaan yang tidak ditetapkan.

(5) Bendahari PAS Pusat sahaja yang berhak menerima sebarang wang PAS yang melalui Pejabat Agung dan mengeluarkan resit kerananya, jika ketiadaan Bendahari PAS Pusat, maka Setiausaha Agung atau mana-mana orang yang diberi kuasa dengan bersurat olehnya boleh menggantikannya bagi pihaknya. Demikianlah juga dengan sebarang wang yang dibayar kepada Badan Perhubungan PAS Negeri, PAS Kawasan, PAS Cawangan, Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Negeri dan Kawasan yang berhak menerima dan mengeluarkan resit kerananya ialah Bendahari-bendahari masing-masing. Dan jika ketiadaan Bendahari-bendahari itu, maka Setiausaha-setiausaha atau mana-mana orang yang diberi kuasa dengan bersurat olehnya bolehlah menggantikan bagi pihaknya.

(6) Selain dari kuasa-kuasa penyimpanan wang tunai seperti fasal-fasal 76(4)(a)(b)(c)(d)(e) dan fasal (f), setiap perbelanjaan yang lebih RM30,000.00 hendaklah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kerja masing-masing. Bagi PAS Cawangan, setiap perbelanjaan melebihi RM5,000.00 hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kerjanya.


FASAL 77 (FASAL 70 lama). Tuntutan

Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhak memajukan sebarang tuntutan kewangan dan sebagainya kepada sesiapa juapun yang berhak dengan PAS dengan apa jua cara yang munasabah.


FASAL 78 (FASAL 71 lama). Memegang Amanah

(1) PAS bolehlah memiliki harta benda seperti tanah, rumah, bangunan dan lain-lain harta. Kecuali wang tunai di tangan atau disimpan di bank, hendaklah dipegang oleh Ketua Pemegang Amanah yang terdiri daripada tidak lebih dari lima orang bagi peringkat Pusat dan bagi peringkat Negeri hendaklah dilantik tidak lebih dari lima orang sebagai Pemegang Amanah. Bagi PAS Kawasan, tidak lebih empat orang boleh dilantik sebagai Pemegang Amanah. (Pindaan 2009)

(2) Pemegang Amanah PAS Pusat hendaklah dilantik daripada ahli-ahli PAS oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Pemegang Amanah PAS Negeri hendaklah dilantik daripada ahli-ahli PAS dalam Negeri itu oleh mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri itu, Pemegang Amanah PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu dari kalangan ahli-ahli PAS dalam kawasan berkenaan. (Pindaan 2009)

(3) Seseorang Pemegang Amanah itu hendaklah memegang jawatannya sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau Muktamar Tahunan PAS atau mesyuarat Perhubungan PAS Negeri bagi sesebuah negeri, atau Mesyuarat PAS Kawasan bagi sesebuah kawasan dengan apa-apa sebab sekalipun. Maka keberhentian orang yang menjadi Pemegang Amanah itu hendaklah dimaklumkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan kemudian daripada keberhentian itu supaya diangkat gantinya, dan bagi peringkat negeri hendaklah dimaklumkan kepada mesyuarat Perhubungan PAS Negeri supaya diangkat gantinya, dan bagi peringkat kawasan hendaklah dimaklumkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kawasan supaya diangkat gantinya.

(4) Semua harta-harta yang tak alih, yang dimiliki oleh PAS, Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat hendaklah dipegang oleh Pemegang Amanah PAS Pusat. Adapun harta-harta yang tak alih, yang dimiliki oleh Badan Perhubungan PAS Negeri, Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat Negeri, maka hendaklah dipegang di bawah kuasa pemegang Amanah PAS Negeri, manakala harta yang tak alih yang dimiliki oleh PAS Kawasan, Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan dan Cawangan-cawangan PAS dalam Kawasan itu, maka hendaklah dipegang di bawah kuasa Pemegang Amanah PAS Kawasan itu.


FASAL 79 (FASAL 72 lama). Pemeriksa Kira-Kira

(1) Tidak kuran dua orang Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat itu hendaklah dipilih dan dilantik akan dia di dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau mana-mana Muktamar Tahunannya yang ada pemilihan.

(2) Jawatankausa Kerja PAS Pusat hendaklah memilih dan melantik mana-mana Juruodit bertauliah menjadi Pemeriksa Kira-Kira luar bagi Pejabat Agung.

(3) Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Badan Perhubungan PAS Negeri itu.

(4) Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira PAS Kawasan itu.

(5) Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung PAS Cawangan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira PAS Cawangan itu.

(6) Tidak kurang daripada dua orang hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Dewan-dewan itu di peringkat Pusat dan Negeri.

(7) Tidak kurang daripada dua orang hendaklah juga dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan bagi menjadi Pemeriksa Kira-Kira Dewan-Dewan itu.

(8) Semua pemilihan dan perlantikan yang disebutkan dalam ceraian (3) hingga (7) di atas hendaklah dibuat pada tiap-tiap dua tahun sekali.

(9) Seorang Pemeriksa Kira-Kira tidaklah boleh menjawat jawatan lain dalam peringkat PAS yang memilih dan melantiknya. Sekiranya ia menerima berhenti atau diberhentikan atas apa-apa jua sebab sekalipun, maka hendaklah diangkat gantinya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja di peringkat PAS yang memilih dan melantik akan dia.

(10) Adapun bagi Perhubungan PAS Negeri, PAS Kawasan, Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat dan Negeri bolehlah, dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian bagi Perhubungan PAS Negeri dan Jawatankuasa Kerja bagi lain-lain, memilih dan melantik mana-mana Juruodit bertauliah menjadi Pemeriksa Kira-Kira luarnya masing-masing.

No comments:

Post a Comment