MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Monday, May 11, 2009

BAB YANG KETIGA: TUJUAN, USAHA, HUKUM DAN KEKUASAAN (Sambungan 2)

Fasal 7. Hukum, Kekuasaan dan 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK". (samb)

(2) Ahli-ahli Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah terdiri daripada tidak lebih tujuh belas orang iaitu: (a) Seorang Mursyidul ‘Am
(b) Seorang Timbalan Mursyidul ‘Am
(c) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak, dan
(d) Tidak lebih empat belas orang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak

(3) Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalahmasalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

(4) Empat orang daripada ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan empat orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak lebih lima orang yang baki itu dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura 'Ulamak itu sendiri. Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak yang memilih/ melantiknya setelah tamat tempoh tersebut.

(5) Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Walau bagaimanapun ahliahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3) Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

(6) Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(7) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah dilantik oleh Mursyidul ‘Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak dari kalangan ahli-ahlinya, dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(8) Mursyidul 'Am hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak. Sekiranya ketiadaan Mursyidul 'Am dengan apa-apa sebab sekalipun, tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dijalankan oleh Timbalan Mursyidul 'Am. Jika kedua-duanya berhalangan atas apa-apa sebab, maka mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli-ahlinya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

(9) Majlis Syura 'Ulamak hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan, atau pada sebarang masa yang lain yang dikehendaki oleh Mursyidul 'Am. Notis mesyuarat hendaklah dihantar kepada tiap-tiap ahli Majlis Syura 'Ulamak tidak kurang 14 hari daripada tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

(10) Cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu ialah sembilan orang daripada ahli-ahlinya yang hadir.

(11) Adapun seseorang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak.

(12) Majlis Syura 'Ulamak boleh, mengikut budi bicaranya, membuat apa-apa peraturan bagi melicinkan pelaksanaan tugas dan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya dan menjaga serta memelihara keutuhan dan kehormatan serta kewibawaan Majlis Syura 'Ulamak tersebut. [Pindaan 2009]

No comments:

Post a Comment