MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN (samb.3)

Fasal 59 (Fasal 52 lama). Dewan Pemuda PAS Kawasan

(1) Sebuah Dewan Pemuda PAS Kawasan bolehlah ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan dalam sebuah Kawasan PAS atau Kawasan Parlimen denga syarat telah sedia ada tidak kurang daripada lima puluh orang pemuda-pemuda ahli PAS yang telah mendaftar sebagai ahli kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan itu.

(2) Pejabat bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan itu ialah sepertimana yang telah disebutkan di dalam Fasal 39(3) Perlembagaan ini.

(3) Sebuah buku daftar ahli bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan yang dicatatkan di dalamnya, Nama, Nombor Kad Pengenalan, Umur, Alamat, Pekerjaan dan Nombor Sijil Keahliannya dalam PAS hendaklah disedia dan disimpan oleh Setiausaha di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan itu.


FASAL 60 (FASAL 53 lama). Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan

(1) Dewan Pemuda PAS Kawasan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya sekali dalam setahun sebelum daripada berlangsungnya Mesyuarat Agung PAS Kawasan dan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri, atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Negeri itu. Satu Notis mesyuarat agung hendaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarkh mesyuarat agung hendak diadakan.

(2) Mesyuarat Agung Khas Dewan Pemuda PAS Kawasan bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan atau satu pertiga daripada Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Cawangan dalam Kawasan itu. Maka Mesyuarat Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Mesyuarat itu diadakan. (Pindaan 2009)

(3) Ahli bagi Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan itu ialah :
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(c) Ketua dan Setiausaha Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan-cawangan.
(d) Tidak lebih dari lima orang pemuda PAS Cawangan yang dilantik di dalam dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan-cawangan.

(4) Cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan itu ialah satu perdua daripada ahli-ahli yang di atas hadir.

(5) Pengerusi bagi Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalannya jika ianya berhalangan dengan apa-apa jua sebab sekalipun. Kedua-dua mereka hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Mesyuarat Agung Tahunan yang ada pemilihan.

(6) Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan berkuasa mengangkat tidak lebih tiga orang wakil ke Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat dan tidak lebih tujuh orang wakil ke Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri. (Pindaan 2009).


FASAL 54. Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan

(1) Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan itu adalah terdiri dari :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Seorang Setiausaha
(e) Tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha
(f) Seorang Bendahari
(g) Seorang Ketua Penerangan,
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya Pemuda, dan
(i) Dua belas orang Jawatankuasa Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan lapan orang daripada Ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan daripada pemuda-pemuda ahli PAS dalam kawasan itu pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Mesyuarat Agung Tahunannya yang ada pemilihan.

(3) Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Pemuda dan empat orang lagi Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh ketua di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan itu daripada pemuda-pemuda ahli PAS dalam Kawasan itu, dan akan memegang jawatan itu selama dua tahun atau sehingga kepada Mesyuarat Agung yang akan datang yang ada pemilihan, atau sehingga ia berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(4) “Jika sekiranya Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa sebab sekalipun, maka Timbalannya hendaklah memangku jawatan itu sehingga kepada Mesyauarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan yang akan datang yang ada pemilihan. Jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa sebabpun maka Naib Ketuanya hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketuanya dan seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan itu dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga ke Mesyuarat Agung yang akan datang yang ada padanya pemilihan. Dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang daripada Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Mesyuarat yang akan datang yang ada padanya pemilihan.

(5) Dan di tempat yang mereka kosongkan bolehlah dilantik oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua pemuda yang telah menjadi Ahli Dewan Pemuda PAS dalam kawasan itu.

(6) Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan hendaklah mengadakan mesyuaratnya tidak kurang daripada tiga kali dalam setahun atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua atau dengan permintaan bersurat daripada satu pertiga Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja itu.

(7) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian itu ialah lima orang daripada ahli-ahli hadir.

(8) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(9) Ketua hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan itu, dan jika ia berhalangan maka Timbalannya hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(10) Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan adalah dengan sendirinya menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan. Jika Ketua Dewan Pemuda itu berhalangan atau apa-apa jua sebab yang ia tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, maka Timbalannya bolehlah diwakilkan secara bersurat untuk hadir di dalam mesyuarat-mesyuarat itu.

(11) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Pemuda Dewan itu dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(12) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab keatas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan Pemuda PAS Kawasan dan urusan-urusan biasa Dewan ini.
(b) Menimbangkan sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut pecahan (a), (b) dan (c) ceraian ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan.


FASAL 62 (FASAL 55 lama). Tugas-tugas Am Dewan Pemuda PAS Kawasan

(1) Ketua
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan pentadbiran, gerakan dan kegiatan Dewan Pemuda PAS Dalam kawasannya.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik menurut peruntukan Perlembagaan ini dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan apabila ketua dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan berhalang atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankusa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(5) Penolong Setiausaha
a. Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan
b. Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(6) Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira Dewan Pemuda PAS Kawasan dan membentangkan penyata itu kepada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(7) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan Pemuda PAS dalam kawasannya.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan Pemuda PAS Kawasan.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(8) Pengarah Pilihanraya Pemuda
a. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan Pemuda PAS Kawasan.
b. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan Pemuda PAS Kawasan.
c. Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kawasan atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan Pilihanraya.

(9) Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.
(a) Menyelaras pentadbiran dan kegiatan Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan dengan kerjasama PAS Cawangan dan Kawasan.
(b) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan pemuda-pemuda dalam kawasan itu melalui kegiatan-kegiatan belia sambil berusaha membentuk dan memimpin mereka ke arah cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
c. Membentuk Lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.
d. Mengangkat wakil ke Muktamar Khas Dewan Pemuda PAS Pusat dan/atau Muktamar Khas Dewan Pemuda PAS Negeri jika wakil yang diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19 (7) Perlembagaan ini.

No comments:

Post a Comment