MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN (samb.1)

FASAL 51 (Fasal lama 44). Dewan Pemuda PAS Pusat

(1) Sebuah Dewan Pemuda PAS Pusat hendaklah ditubuhkan melalui Muktamarnya.

(2) Pejabat bagi Dewan Pemuda PAS Pusat ialah sepertimana yang telah dinyatakan dalam Fasal 39(1) Perlembagaan ini.

(3) Pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah dengan sendirinya menjadi ahli bagi Dewan Pemuda PAS.

(4) Sebuah buku besar daftar ahli bagi Dewan Pemuda PAS Pusat yang dicatatkan di adalamnya butir-butir, Nama, Nombor Kad Pengenalan, Umur, Alamat, Pekerjaan dan Nombor Sijil Keahliannya dalam PAS hendaklah disedia dan disimpan di Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat.

(5) Bayaran pendaftaran bagi ahli Dewan ini ialah RM5.00 setahun bagi setiap seorang. Kutipan bayaran pendaftaran itu hendaklah diperuntukan sebanyak lima puluh peratus kepada Dewan Pemuda PAS Pusat, dua puluh peratus kepada Dewan Pemuda PAS Negeri dan tiga puluh peratus kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan.


FASAL 52 (Fasal lama 45). Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat

(1) Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat hendaklah diadakan sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya dalam bulan April atau mana-mana tarikh yang terdahulu sedikit dari tarikh Muktamar Tahunan PAS, atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Satu notis hendaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarikh muktamar hendak diadakan.

(2) Muktamar Khas Dewan Pemuda PAS Pusat bolehlah diadakan beberpa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat atau satu pertiga daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan. Maka Muktamar Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan.

(3) Ahli-ahli bagi Muktamar Tahunan Dewan Pemuda itu ialah:
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.
(c) Ketua-Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri atau timbalannya atau Naibnya dengan kebenaran bersurat jika Ketuanya atau Timbalan Ketuanya berhalangan.
(d) Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan atau Timbalannya atau Naibnya dengan kebenaran bersurat jika Ketuanya atau Timbalan Ketuanya berhalangan.
(e) Tidak lebih tiga orang wakil yang dipilih dan diangkat Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan.

(4) Cukup bilang bagi menjalankan Muktamar itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya yang di atas hadir.

(5) Pengerusi bagi Muktamar itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalan Pengerusi Tetapnya jika Pengerusi Tetap itu berhalangan.

(6) Pengerusi Tetap dan Timbalannya hendaklah dipilih pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda yang ada pemilihan daripada ahli-ahli PAS yang berumur walaupun lebih daripada empat puluh tahun.

(7) Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat berkuasa mengangkat 20 wakil ke Muktamar Tahunan PAS mengikut Fasal 18(2)(g).

FASAL 53 (Fasal lama 46). Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat

(1) Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat itu adalah terdiri dari :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Seorang Setiausaha
(e) Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setiausaha
(f) Seorang Bendahari
(g) Seorang Ketua Penerangan
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya Pemuda
(i) Tidak lebih daripada lapan belas orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan dua pertiga daripada Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat yang ada pemilihan, daripada pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah, Kecuali Ketua dan Timbalan Ketua yang disebut dalam ceraian (1)(a) dan (1)(b) Fasal ini boleh dipilih dan dilantik dalam mana-mana Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat yang ada pemilihannya daripada ahli-ahli PAS dalam negara ini dengan tiada sebarang sekatan umurnya.

(3) Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Pemuda dan satu pertiga daripada Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua daripada pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu dan akan memegang jawatannya selama dua tahun atau sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan datang yang ada pemilihan, atau sehingga ia berhenti atau diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

(4) Jika sekiranya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun, maka Timbalanya hendaklah memangku Jawatan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS yang akan datang yang ada padanya pemilihan. Jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Ketuanya hendkalah dilantik memangku Jawatan Ketuanya dan seorang daripada Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan itu dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga ke Muktamar Tahunan yang akan dating yang ada pemilihan. Dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan itu hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan itu di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Mukatamr Tahunan yang ada pemilihannya. Dan di tempat mereka yang mereka dikosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua pemuda yang telah menjadi ahli PAS.

(5) Tiap-tiap seorang daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Dewan ini boleh memohon berhenti dengan bersurat kepada Ketua atau Setiausaha dengan menyatakan sebab-sebabnya Ketua atau Setiausaha hendaklah mengangkat permohonan itu ke dalam majlis mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat untuk ditimbang sama ada ditolak atau diluluskan.

(6) Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Dewan itu atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang dari satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

(7) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Dewan itu dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat.

(8) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab ke atas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan pemuda PAS Pusat dan urusan-urusan biasa Dewan Pemuda PAS.
(b) Menimbangkan sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut Pecahan(a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklum dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.

(9) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir, dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat itu ialah tiga orang daripada ahli-ahlinya hadir.

(10) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankausa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(11) Ketua, atau Timbalannya jika Ketua itu berhalangan, hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan itu.


FASAL 54 (fasal lama 47). Tugas-tugas Dewan Pemuda PAS Pusat

(1) Ketua
(a) Bertanggungjawab mengetuai kesempurnaan perjalanan pentadbiran, gerakan dan kegiatan Dewan Pemuda PAS dalam negara ini.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Pemuda dan Ahli-ahli Jawatankausa Kerja yang dilantik menurut Perlembagaan ini dengan pesetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat apabila Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berhalangan atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Pusat.

(5) Penolong Setiausaha
(a) Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.
(b) Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat.

(6) Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan Pemuda PAS Pusat.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira Dewan Pemuda PAS Pusat dan membentangkan penyata itu kepada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

(7) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan Pemuda PAS.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan Pemuda PAS.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(8) Pengarah Pilihanraya Pemuda
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawabmelaporkan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihanraya.

(7) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja
(a) Menyatupadukan tenaga dan fikiran pemuda PAS di seluruh negara.
(b) Membantu Badan Perhubungan PAS Negeri menubuhkan Dewan Pemuda PAS Negeri, dan membantu Dewan Pemuda PAS Negeri menubuhkan Dewan Pemuda PAS Kawasan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan.
(c) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan pemuda melalui kegiatan belia sambil berusaha membentuk keperibadian mereka supaya menjadi pemuda yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cita-cita yang diperjuangkan oleh PAS.
(d) Membentuk lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.
(e) Mengangkat wakil ke Muktamar Khas PAS yang disebut dalam Fasal 18 Perlembagaan ini, jika wakil yang diangkat oleh Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini.

No comments:

Post a Comment