MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KETUJUH: JAWATANKUASA KERJA

FASAL 25 (Fasal lama 22). Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

(1) Adapun Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu ialah :
(a) Seorang Presiden
(b) Seorang Timbalan Presiden
(c) Tiga orang Naib Presiden
(d) Tiga orang Ketua-ketua Dewan
(e) Seorang Setiausaha Agung
(f) Tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha Agung [Pindaan 2009]
(g) Seorang Bendahari
(h) Seorang Ketua Penerangan,
(i) Seorang Ketua Pengarah Pilihanraya, dan [Pindaan 2009]
(j) Dua puluh empat orang Ahli Jawatankuasa Kerja Biasa.

(2) Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar Tahunan PAS pada tiap-tiap dua tahun daripada ahli-ahli PAS atau dengan apa-apa cara jua yang dipersetujui oleh Muktamar Tahunan PAS itu.

(3) Tiga orang daripada Ketua dari Dewan-dewan itu ialah Ketua Dewan Ulamak, Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat yang telah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar masing-masing, yang diadakan sebelum daripada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan, dan mereka dengan sendirinya menjadi Naib-naib Presiden.

(4) Setiausaha Agung, tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat hendaklah dilantik oleh Presiden di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat daripada ahli-ahli PAS atau daripada kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan akan memegang jawatan itu sehingga pada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan atau sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa sebab sekalipun.

(5) Lapan belas orang daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang disebutkan dalam ceraian (1)(j) Fasal ini, hendaklah dipilih dan dilantik di dalam Muktamar Tahunan PAS tiap-tiap dua tahun sekali, dan enam daripadanya hendaklah dilantik akan dia oleh Presiden di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat daripada ahli-ahli PAS, dan akan memegang jawatan itu sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa sebab sekalipun.

(6) Sekiranya seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu tidak lagi menjawat jawatan itu sama ada dengan sebab meninggal dunia ataupun dengan sebab ia meminta berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa sebab yang menjadi halangan daripada menjawat jawatan tersebut, maka Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuaratnya adalah berkuasa melantik penggantinya daripada sesiapa sahaja ahli PAS sehingga Muktamar Tahunan PAS memilih semula Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(7) Seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bolehlah meminta berhenti daripada jawatannya dengan menyatakan kehendak-kehendak itu dengan bersurat kepada Setiausaha Agung, dan pemberhentiannya itu hendaklah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat supaya diangkat dan dilantik gantinya daripada ahli-ahli PAS yang difikirkan layak oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(8) Jika sekiranya Presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka Timbalan Presiden dengan sendirinya memangku jawatan Presiden sehingga Presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula.

(9) Jika sekiranya Presiden dan Timbalannya berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa sebab juapun yang menjadikan mereka terhalang daripada memegang jawatan-jawatan itu, maka salah seorang daripada Naib-Naib Presiden yang dilantik oleh Muktamar Tahunan hendaklah dipilih oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan seorang lagi memangku jawatan Timbalan Presiden bagi menjalankan pentadbiran dan kerja-kerja Presiden dan Timbalannya sehingga seorang Presiden dan Timbalan Presiden dapat dipilih memangku jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu, maka hendaklah dipilih di antara kalangan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi memangku jawatan Naib-Naib Presiden itu sehingga mereka dapat dipilih semula atau dapat memegang jawatan itu semula setelah Presiden dan Timbalannya memegang jawatan mereka semula.

(10) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan, atau pada sebarang masa yang lain yang diadakan oleh Presiden atau sebarang masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat mereka menghantar surat yang menyatakan kehendak dan sebab kemustahakan mesyuarat itu diadakan kepada Setiausaha Agung.

(11) Presiden atau Timbalannya atau gantinya atau sesiapa sahaja adaripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang hadir yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu bolehlah mempengerusikan mesyuaratnya ketika salah seorang daripadanya berhalangan atau/dan kedua-duanya berhalangan untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

(12) Cukup bilang bagi menjalankan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu ialah lima belas orang daripada ahli-ahlinya hadir.

(13) Adapun seseorang ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerjanya jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Agung. [Pindaan 2009]

(14) Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, dan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat adalah dengan sendirinya menjadi Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

(15) Pengerusi bagi mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat itu ialah Presiden, dan jika ia berhalangan, maka Timbalan Presiden, dan jika Timbalan Presiden itu berhalangan juga, maka salah seorang daripada Naib-naib Presiden hendaklah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

(16) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Harian itu ialah tujuh orang daripada ahli-ahlinya yang hadir.

(17) Jika Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat itu berhalangan atau apa-apa jua sebab yang ia tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat Jawatankuasa Kerja atau Jawatankuasa harian PAS Pusat, maka Timbalan Ketua masing-masing bolehlah diwakilkan secara bersurat untuk hadir di dalam mesyuarat-mesyuarat itu.

(18) Sekiranya Setiausaha Agung berkeuzuran dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat, maka mana-mana seorang Penolong Setiausaha Agung
bolehlah menggantikan beliau secara bersurat dalam mesyuarat tersebut.
[Pindaan 2009]

No comments:

Post a Comment