MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEMBILAN: PERHUBUNGAN PAS NEGERI / WILAYAH PERSEKUTUAN

FASAL 40 (Fasal lama 34). Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan

(1) Di dalam bab ini perkataan ‘Perhubungan PAS Negeri adalah dikira telah termasuk Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

(2) Pada tiap-tiap negeri hendaklah ditubuhkan sebuah badan yang dinamakan ‘ Perhubungan PAS Negeri’ dan ‘Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan’ bagi Wilayah Persekutuan.

(3) Adapun ahli-ahli bagi Perhubungan PAS Negeri itu ialah :
(a) Seorang Pesuruhjaya.
(b) Tidak lebih daripada tiga orang Timbalan Pesuruhjaya.
(c) Seorang Setiausaha
(d) Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setiausaha [Pindaan 2009]
(e) Seorang Bendahari
(f) Seorang Ketua Penerangan
(g) Seorang Pengarah Pilihanraya [Pindaan 2009]
(h) Ketua dan Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Negeri
(i) Ketua dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri
(j) Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri
(k) Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan
(l) Setiausaha-setiausaha PAS Kawasan
(m) Tidak lebih daripada tujuh orang ahli yang dilantik.

(4) Presiden hendaklah melantik seorang daripada ahli PAS untuk menjadi Pesuruhjaya PAS bagi tiap-tiap negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dan mereka adalah dengan sendirinya menjadi Wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Adapun Pesuruhjaya PAS Negeri itu akan memegang jawatannya selama dua tahun atau sehingga kepada Muktamar Tahunan PAS yang ada pemilihan dan boleh aberhenti dan diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(5) Pesuruhjaya PAS Negeri dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri hendaklah melantik Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya dan Ahli Perhubungan PAS Negeri menurut ceraian (3)(b)(c)(d)(e),(f),(g) dan (m) dalam Fasal ini daripada ahli-ahli PAS dalam negeri itu.

(6) Pesuruhjaya dengan persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri bolehlah memberhentikan Timbalan-timbalannya, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya dan Ahli Perhubungan PAS Negeri yang disebut dalam Ceraian (3)(m) Fasal ini dan berkuasa untuk melantik penggantinya menurut cara ceraian (5) Fasal ini.

(7) Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada bila-bila masa mengikut timbangannya berkuasa membubar, menggantung dan mengambilalih pentadbiran Perhubungan PAS Negeri itu, dan pada ketika itu Pesuruhjaya PAS Negeri sahajalah yang berkuasa menjalankan tugas-tugas Perhubungan Negeri dengan panduan terus daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(8) Perhubungan PAS Negeri-negeri hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Hariannya bagi menjalankan tugas-tugas biasa dan menyelesaikan perkara-perkara yang perlu disegerakan demi unutk kelancaran dan kelicinan pentadbiran dan perjalanan Badan Perhubungan itu.

(9) Adapun anggota-anggota bagi Jawatankuasa Harian PAS Negeri-negeri itu hendaklah terdiri daripada :
(a) Pesuruhjaya
(b) Timbalan-timbalan Pesuruhjaya
(c) Setiausaha Perhubungan
(d) Bendahari Perhubungan
(e) Ketua Penerangan
(f) Seorang Pengarah Pilihanraya [Pindaan 2009]
(g) Ketua dan Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Negeri
(h) Ketua dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri
(i) Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri

(10) Sekiranya Setiausaha Perhubungan berkeuzuran dan tidak dapat menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Negeri, maka mana-mana seorang Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Negeri bolehlah diwakilkan secara bersurat dan hadir dalam mesyuarat tersebut. [Pindaan 2009]

(11) Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri itu hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, dan seboleh-bolehnya sebelum sidang Dewan Undangan Negeri di negeri itu atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang dari satu pertiga dari jumlah ahli-ahli Perhubungan PAS Negeri itu.

(12) Jika Yang Dipertua dan Setiausaha satu-satu Kawasan PAS itu berhalangan untuk hadir dalam mana-mana mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri atau dengan sebab-sebab yang lain, maka Timbalan Yang Dipertua dan Penolong Setiausaha PAS Kawasan dengan surat mewakilkannya daripada Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan itu bolehlah hadir, bersuarat dan mengundi di dalam mana-mana mesyuarat Perhubungan PAS Negeri itu.

(13) Jawatankuasa Harian PAS Negeri itu hendaklah mengadakan mesyuaratnya seberapa banyak yang boleh dan hendaklah tidak kurang dari enam kali dalam setahun.

(14) Satu perdua daripada Ahli Perhubungan bagi mesyuarat Perhubungan PAS Negeri dan satu perdua daripada Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri bagi mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Negeri yang hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan kedua-dua mesyuarat itu.

(15) Adapun seseorang Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.

(16) Adapun Ketua-ketua dan Setiausaha-setiausaha Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri, serta Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan yang disebut dalam
Ceraian (3)(h), (i), (j), (k) dan (l) Fasal ini bolehlah diberhentikan jawatannya sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Perhubungan PAS Negeri jika gagal hadir mesyuarat Perhubungan PAS Negeri sebanyak tiga kali berturut-turut
tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Perhubungan PAS Negeri.

(17) Ketua-ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta Yang Dipertua PAS Kawasan yang dilucutkan jawatannya oleh Perhubungan PAS Negeri mengikut Fasal 40(16) tidaklah terlucut jawatan di peringkat Dewan-dewan dan Kawasan masing-masing. Timbalan-timbalan Ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan berkenaan dengan sendirinya menjadi Ahli Perhubungan PAS Negeri
menggantikan Ketua-ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri, serta Yang Dipertua PAS Kawasan yang diberhentikan jawatannya.

(18) Kecuali pemegang jawatan yang disebut dalam Ceraian (17) Fasal ini, adapun pemegang jawatan yang dilucutkan jawatannya mengikut Fasal 40(16) dengan sendirinya terlucut jawatan di Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri serta PAS Kawasan berkenaan. Ketua-ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri hendaklah melantik seorang Setiausaha Dewan baru dari kalangan mana-mana ahli Dewan berkenaan, manakala Yang Dipertua PAS Kawasan hendaklah melantik seorang Setiausaha PAS Kawasan dari kalangan ahli PAS dalam Kawasan berkenaan untuk menggantikan Setiausaha yang dilucutkan jawatannya oleh Perhubungan PAS Negeri.

(19) Ketua-ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri yang dilucutkan jawatannya sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri mengikut Ceraian (16) Fasal ini
dengan sendirinya terlucut jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri yang disebut dalam Ceraian (9)(g), (h) dan (i) Fasal ini. Tempat mereka dalam Jawatankuasa Harian PAS Negeri akan digantikan oleh Timbalan masing-masing.
[Pindaan 2009]

(20) Pengerusi bagi mesyuarat Badan Perhubungan dan Jawatankuasa Harian PAS Negeri itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, dan jika ia berhalangan atau apa-apa jua sebab yang ia tidak dapat hadir dalam mesyuarat-mesyuarat tesebut, maka salah seorang daripada Timbalan-timbalannya hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat tersebut.

(21) Jika Ketua-ketua Dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri itu berhalangan atau apa-apa jua sebab yang tidak dapat hadir dalam mana-mana mesyuarat Perhubungan atau Jawatankuasa Harian PAS Negeri, maka Timbalan Ketua masing-masing bolehlah diwakili secara bersurat untuk hadir, bersuara dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat itu.

No comments:

Post a Comment