MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"
Showing posts with label Bab 12. Show all posts
Showing posts with label Bab 12. Show all posts

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KEDUA BELAS: LAIN-LAIN HAL (samb.)

FASAL 86 (FASAL 77 - lama). Meminda Perlembagaan PAS

(1) Adapun Perlembagaan PAS ini atau sebarang bahagian daripadanya bolehlah dipinda atau dibatalkan atau ditambahkan dengan ketetapan yang dipersetujukan oleh dua pertiga suara yang hadir dalam Muktamar Tahunan PAS.
(2) Suatu ketetapan yang mengandungi sebarang syor atau cadangan hendaklah meminda atau membatalkan atau mengubahkan atau menambahkan kepada Perlembagaan ini hendklah dihantar kepada Setiausaha Agung sebagaimana yang disyaratkan di dalam Peraturan Muktamar PAS.
(3) Sebarang pindaan, perubahan dan sebarang perkara yang berkait dengan Perlembagaan ini hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh hari dari tarikh ia diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, dan tidak boleh dijalankan melainkan sesudah mendapat pengakuan daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 87 (FASAL 78 lama). Cara Memansuhkan PAS

(1) PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

(2) Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang waki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu.

(3) Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu.


FASAL 88 (FASAL 79 - LAMA). Lain-lain Perkara

(1) Segala perkara yang berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat di atas tafsiran Perlembagaan ini, serta Aturan dan Peraturan yang diperbuat mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Perlembagaan ini hendaklah dirujukkan kepada ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ dan sebarang keputusannya adalah muktamad, jika tidak diubah oleh Muktamar.

(2) ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar.

(3) Sebarang pertikaian dan perselisihan di dalam PAS, Badan-badan dan organisasi-organisasi serta Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil/Lajnah-Lajnah yang dibentuk mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini tidak boleh dibawa ke Mahkamah.

(4) Penasihat dan pegawai yang menjalankan tugas pemerintah PAS di semua peringkat hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia.

tt
YB DATO HAJI FADZIL MOHD NOOR
Presiden PAS


tt
YB HAJI HASSAN BIN SHUKRI
Naib Presiden PAS


tt
YB HAJI NASHARUDIN MAT ISA
Setiausaha Agung PAS

BAB YANG KEDUA BELAS: LAIN-LAIN HAL

FASAL 80 (FASAL 73 - lama). Bendera PAS

(1) Adapun Bendera PAS ialah berwarna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya (merah-putih) dan di pangkalnya sebelah atas terletak bulatan hijau.

(2) Ukuran Bendera PAS itu ialah sebesar 5 X 7 sama ada dengan ukuran inci atau kaki atau lain-lain.

(3) Bendera PAS bolehlah digunakan dalam setiap perayaan-perjumpaan yang dianjurkan oleh PAS atau sebarang perayaan yang disertai oleh PAS.

(4) Bendera PAS bolehlah digunakan sebagai latar belakang dalam setiap majlis-majlis anjuran PAS.

(5) Bendera PAS bolehlah digunakan pada pejabat-pejabat PAS, rumah-rumah ahli PAS dan pada kenderaan ahli-ahli PAS pada semua peringkat.

(6) Bendera PAS bolehlah digunakan pada masa-masa pilihanraya.


FASAL 81 (FASAL 74 - lama). Lambang PAS
Adapun Lambang atau Simbol PAS untuk Pilihanraya ialah Bulatan Putih dengan berlatar belakang warna hijau, dan dalam keadaan tertentu latar belakang boleh juga digunakan warna hitam dengan memakai ukuran 3 X 4 iaitu 3 lintang dan 4 bujur, atau apa-apa simbol yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan serta Suruhanjaya Pilihanraya.


FASAL 82 (FASAL 75 - lama). Tatatertib PAS

(1) Semua ahli-ahli PAS hendaklah:
(a) Taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS itu.
(b) Taat dan patuh kepada Perlembagaan Parti serta Aturan dan Peraturannya.
(c) Taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti.
(d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya yang boleh.
(e) Menjaga dengan cermatnya segala rahsia-rahsia Parti.
(f) Mengamal akhlak Islam.
(g) Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Parti.
(h) Menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam bagi dirinya di dalam negara ini.

(2) Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

(3) Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah terdiri dari :
(a) Seorang Pengerusi
(b) Seorang Setiausaha, dan
(c) Tiga orang ahli Jawatankuasa

(4) Ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib yang disebut dalam ceraian 3 (a), (b) dan (c) Fasal ini hendaklah dari kalangan ahli-ahli PAS yang berkelayakan pada pandangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. (Pindaan 2011).

Mansuh - Seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hendaklah mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib ini. (Pindaan 2009)


Mansuh - ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’, menurut kuasa yang diperuntukan kepadanya dalam Fasal 7(3)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa. (lama)

(5) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, menurut kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Fasal 26 (9)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa. (Pindaan 2009)

(6) Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah :
(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantungkan keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli
(sebelum pindaan, Fasal ini adalah (5))

(6) (lama) ‘Majlis Syura ‘Ulamak’ dengan apa-apa jua cara yang difikirkan munasabah hendaklah menimbang dan memutuskan rayuan mana-mana PAS yang telah dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpuashati dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terhadap rayuannya mengikut Fasal (13)(3)(d) dengan syarat ahli tersebut hendaklah mengemukakan rayuannya kepada ‘Majlis Syura ‘Ulamak’ melalui Setiausahanya tidak lewat dari empat puluh hari daripada tarikh keputusannya yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, Keputusan ‘Majlis Syura ‘Ulamak’ terhadap rayuannya itu adalah muktamad. (sebelum Pindaan)

(7) Jawatankuasa Tatatertib yang mengenakan tindakan tataertib mengikut ceraian (6)(b) dan (c) Fasal ini hendaklah menetapkan satu tempoh tertentu mengikut kesesuaian pada pandangan Jawatankuasa Tatertib terhadap tindakan tatertib yang diambil. (Pindaan 2009)

(7) (lama) ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana pihak yang tersebut dalam ceraian (2) Fasal ini. Keputusan dan tindakan ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ itu adalah muktamad.

(8) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan apa-apa jua cara yang difikirkan munasabah hendaklah menimbang dan memutuskan rayuan mana-mana ahli PAS yang telah dikenakan tindakan tatatertib dan tidak berpuashati dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tataertib dengan syarat ahli tersebut hendaklah mengemukakan rayuannya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Setiausaha Agung dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusannya yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib mengikut Ceraian (6) Fasal ini. (Pindaan 2009)

(9) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam keadaan tertentu adalah berhak mengambil apa-apa tindakan tataertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tataertib keatas mana-mana ahli PAS yang dianggap melanggarka Ceraian (1) Fasal ini. (Pindaan 2009)


FASAL 83. Rayuan Tatatertib (Pindaan 2009)
(1) Ahli-ahli PAS yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Fasal 82 Perlembagaan ini yang tidak berpuashati dengan keputusan Jawatankuasa Tatertib bolehlah mengemukakan rayuan bersurat kepada Setiausaha Agung PAS dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Tatatertib untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

(2) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengikut Fasal 26 (9)(e) dan 82 (8) Perlembagaan ini berkuasa untuk mendengar semula rayuan tatatertib PAS.

(3) Dengan mengabaikan Ceraian (2) Fasal ini, ahli-ahli yang dikenakan tindakan mengikut Fasal 82 (9) Perlembagaan ini hendaklah mengemukakan rayuan terus kepada Majlis Syura 'Ulamak dalam tempoh 30 hari.

(4) Ahli-ahli yang tidak berpuashati dengan keputusan rayuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat boleh membuat rayuan semula dengan mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Syura 'Ulamak dalam tempoh 15 hari daripada keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dipertimbangkan oleh Majlis Syura 'Ulamak.

(5) Majlis Syura 'Ulamak adalah berkuasa untuk mendengar rayuan bagi ahli-ahli yang dikenakan tindakan mengikut Fasal 82 (9) Perlembagaan ini dan rayuan semula mengikut Ceraian (4) Fasal ini. Keputusan dan tindakan Majlis Syura 'Ulamak itu adalah muktamad.

FASAL 84 (FASAL 76 - lama). Peraturan Muktamar dan Mesyuarat

(1) Adapun peraturan Muktamar dan mesyuarat bagi Muktamar Tahunan dan Mesyuarat Agung PAS adalah disifatkan seolah-olahnya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan ini dan mempunyai kekuatan sebagaimana Perlembagaan juga.

(2) Peraturan Muktamar dan mesyuarat Agung yang baru bolehlah diperbuat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS bila dikehendaki ataupun peraturan-peraturan mesyuarat Agung yang telah ada bolehlah dipinda atau diubah atau dimansuhkan dengan satu ketetapan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. (Pindaan 2009)

(3) Sebarang pertikaian atau perselisihan faham dan pendapat di atas semua Peraturan Muktamar dan Mesyuarat Agung yang disebut dalam Fasal ini hendaklah dirujuk kepada Majlis Syura PAS mengikut Fasal 88(1). (Pindaan 2009)

(3 lama) Adapun peraturan-peraturan bagi sesebuah Kawasan atau Cawangan PAS itu, hendaklah terlebih dahulu dipersetujui oleh Badan Perhubungan PAS Negeri sebelum digunakan bagi Kawasan dan Cawangan itu.

FASAL 85. Aturan dan Peraturan PAS (Pindaan 2009)
(1) Adapun sebarang Aturan dan Peraturan bagi mana-mana dalam PAS adalah disifatkan seolah-olah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan ini dan mempunyai kekuatan sebagaimana Perlembagaan juga.

(2) Apa-apa peraturan dan peraturan bagi mengemaskan mana-mana organisasi di semua peringkat PAS bolehlah diperbuat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan boleh dipinda atau dipinda atau diubah atau dimansuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan ini.

(3) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa untuk membuat apa-apa kaedah, tatacara prosedur dan lain-lain termasuk pekeliling yang menjadi arahan amalan, dan ia hendaklah disifatkan sebagai sebahagaian daripada Aturan dan Peraturan PAS dan boleh dipinda atau diubah atau dimansuhkan mengikut kaedah Ceraian (2) Fasal ini.

(4) Adapun mana-mana bahagian di dalam mana-mana Aturan dan peraturan yang dibuat mengikut Fasal 84 dan Fasal 85 Perlembagaan ini yang bertentangan dengan Perlembagaan ini, maka ia terbatal dengan sendirinya setakat mana ia bertentangan.

(5) Sebarang pertiakaina atau perselisihan faham dan pendapat di atas semua aturan dan peraturan yang disebut dalam Fasal ini hendaklah dirujuk kepada Majlis Syura 'Ulamak mengikut Fasal 88 (1).