MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KEENAM: PENUBUHAN KAWASAN DAN CAWANGAN

Fasal 24 (Fasal lama 21). Penubuhan PAS Kawasan.

(1) Kawasan PAS hendaklah ditubuhkan hanya sebuah sahaja bagi tiap-tiap satu daerah (bagi negeri Kelantan, ‘Jajahan’) mengikut sempadan kekuasaan Pegawai Daerah (bagi negeri Kelantan ‘Pegawai Jajahan’) atau kawasan pilihanraya Parlimen dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua ratus orang ahli PAS yang telah berdaftar, kecuali jika dipandang sangat mustahak oleh Badan Perhubungan PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan, dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengikut cara yang lain.

(2) Pesuruhjaya PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sahajalah yang berkuasa menubuhkan Kawasan-kawasan PAS di daerah-daerah (Jajahan-jajahan bagi negeri Kelantan) atau kawasan-kawasan Parlimen yang belum ada Kawasan PAS atau dalam menyempurnakan kehendak-kehendak ceraian (1) Fasal ini, dan bagi negeri-negeri/Wilayah Persekutuan yang belum ada Pesuruhjaya PAS atau Badan Perhubungan ini adalah tertakluk di bawah kekuasaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

FASAL 24. Penubuhan PAS Cawangan

(1) Adapun Cawangan-cawangan PAS bagi sesebuah Kawasan itu bolehlah ditubuhkan di mana-mana saja tempat di dalam daerah kekuasaan PAS Kawasan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

(2) Adapun bagi kawasan-kawasan yang tiada atau belum ditubuhkan PAS Kawasan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

(3) Adapun bagi PAS Kawasan yang digantung atau dibubarkan mengikut Fasal 23(7)(g) Perlembagaan ini atau dibatal pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Sementara PAS Kawasan berkenaan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau ditubuhkan mengikut apa-apa ketetapan lain yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
[Pindaan 2009]

No comments:

Post a Comment