MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Wednesday, May 4, 2011

Muktamar Tahunan PAS ke 57 pada 3 - 5 Jun 2011

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pencalonan untuk semua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota jawatankuasa PAS pusat sudah bermula.

"Tarikh akhir kemukakan pencalonan adalah pada 15 Mei. Semua pencalonan akan dimasukkan dalam peti simpanan. Calon akan diberitahu berapa pencalonan yang dia dapat sebaik sahaja peti simpanan itu dibuka pada tarikh itu," katanya pada sidang berita di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Mustafa berkata Jawatankuasa Pemilih akan menghantar surat tawaran bertanding kepada calon-calon dan mereka menjawabnya dalam masa 11 hari iaitu dari 15 hingga 26 Mei.

"Jawatankuasa Pemilih memutuskan bahawa calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran itu, yang tidak dijawab kita anggap mereka tidak ada kesungguhan untuk bertanding.

"Calon-calon akan menilai sama ada mereka hendak terima pencalonan atau menolak pencalonan itu," katanya sambil memberitahu bahawa kira-kira 1,100 perwakilan dari 179 kawasan akan menghadiri muktamar itu.

Beliau berkata calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum kertas undi dicetak pada 26 Mei.

Mustafa, yang tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan, berkata isu Pilihan Raya Umum ke-13 mungkin akan menjadi antara intipati ucapan dasar Presiden pada muktamar tiga hari itu.

Ketika ditanya mengenai PAS yang mengadakan pemilihan sedangkan parti-parti lain menangguhkannya kerana mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum, Mustafa berkata beliau yakin pertandingan itu tidak akan merosakkan perpaduan dalam parti.

"Saya agak parti-parti lain tangguh pemilihan kerana ia akan memecah-belahkan parti mereka kerana kempen yang terlalu hebat, tapi PAS yakin PAS ada budayanya sendiri.

"Walaupun ada pertandingan, ia tidak akan merosakkan perpaduan dalam parti melainkan pilihan raya umum diadakan pada Jun barulah kita fikir kembali, tetapi saya tidak fikir ia akan diadakan pada Jun," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bekas Mufti Negeri Perlis Dr Asri Zainul Abidin yang meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim melakukan 'sumpah muhabalah' di hadapan masyarakat bagi menjelaskan tuduhan video seks yang didedahkan oleh trio Datuk T, Mustafa berkata PAS mahu isu itu disiasat terlebih dahulu.

"PAS sudah buat keputusannya, siasat dulu sebab proses yang dibuat oleh kerajaan ini dibuat berdasarkan undang-undang dan perlembagaan yang ada, kita ikut proses itu," katanya.

Beliau berkata PAS akan menyatakan pendirian mengenai kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat setelah selesai siasatan dibuat terhadap kes video seks itu, yang pelakunya didakwa mirip ketua pembangkang itu

No comments:

Post a Comment