MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN (samb.)

FASAL 47 (Fasal lama 41). Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan

(1) Sebuah Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan yang kemudiannya disebut ‘Dewan ‘Ulamak PAS Negeri’ sahaja hendaklah ditubuhkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang disebutkan dalam Fasal 43(3) Perlembagaan ini, yang telah menjadi ahli PAS dalam negeri itu.

(2) Pejabat bagi Dewan ‘Ulamak Negeri itu ialah seperti mana yang disebutkan di dalam Fasal 39(2) Perlembagaan ini.

(3) Sebuah buku daftar ahli bagi Dewan ‘Ulamak PAS Negeri yang dicatatkan di dalamnya, Nama, Nombor Kad Pengenalan, Alamat, Pekerjaan, Kelulusan Pengajian dan Nombor Sijil Kelahirannya dalam PAS hendaklah disediakan dan disimpan di Pejabat Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu.


FASAL 48 (Fasal lama 42). Muktamar Dewan ‘Ulamak PAS Negeri

(1) Dewan ‘Ulamak PAS Negeri hendaklah mengadakan Muktamarnya sekali dalam setahun sebelum daripada berlangsungnya Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu. Satu notis muktamar hendaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarikh muktamar hendak diadakan.

(2) Ahli-ahli bagi Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu ialah:
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(c) Ketua Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan atau Timbalannya atau Naibnya atau seorang ahli jawatankuasa urusan ‘Ulamak jika Ketua itu berhalangan.
(d) Tidak lebih dari tujuh orang wakil yang dilantik dan diangkat oleh Jawatankuasa Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan itu.

(3) Cukup Bilang bagi menjalankan Muktamar itu ialah satu perdua daripada ahli-ahli Muktamar itu hadir.

(4) Pengerusi bagi Muktamar Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri yang ada pemilihannya.


FASAL 49 (Fasal lama 43). Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri

(1) Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu hendaklah terdiri dari :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Seorang Setiausaha
(e) Tidak lebih tiga orang Penolong Setiausaha
(f) Seorang Bendahari
(g) Seorang Ketua Penerangan,
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak
(i) Tidak lebih daripada lima belas orang Jawatankuasa Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan dua pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri daripada ‘Ulamak-’Ulamak yang telah menjadi ahli PAS pada tiap-tiap dua tahun sekali atau dalam Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri yang ada pemilihannya.

(3) Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak dan satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada ‘Ulamak-’Ulamak yang telah menjadi ahli PAS dalam negeri itu, dan akan memegang jawatannya selama dua tahun, atau sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri yang ada pemilihan, atau sehingga ia berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(4) Jika Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun, maka Timbalannya hendaklah memangku Jawatan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri yang akan datang yang ada padanya pemilihan. Jika kedua-duanya behenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Ketuanya hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketuanya dan seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak Negeri hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan itu dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga ke Muktamar Tahunan yang akan datang yang ada pemilihan. Dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua ‘Ulamak PAS Negeri dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan datang yang ada pemilihannya. Dan ditempat yang mereka kosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua ‘Ulamak yang telah menjadi ahli PAS dalam Negeri itu.

(5) Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang daripada satu pertiga daripada jumlah Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu.

(6) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian itu ialah lima orang daripada ahli-ahli hadir.

(7) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(8) Ketua atau Timbalan Ketua jika Ketua itu berhalangan, hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan itu.

(9) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak adalah dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(10) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab keatas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan urusan-urusan biasa Dewan ini.
(b) Menimbangkan sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut Pecahan (a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(11) Ketua dan Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Negeri itu adalah dengan sendirinya menjadi Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri itu.


Fasal 50. Tugas-tugas Dewan ‘Ulamak PAS Negeri
(1) Ketua

(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan pentadbiran, gerakan dan kegiatan Dewan ‘Ulamak PAS dalam negerinya.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan persefahaman dan kesungguhan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik menurut peruntukan Perlembagaan ini dengan perstujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.
(c) Menggantikan Ketua sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri jika Ketua dilucutkan jawatannya mengikut Fasal 40 (16)

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian ‘Ulamak PAS Negeri apabila Ketua dan Timbalan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri berhalangan atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan pelaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(5)Penolong Setiausaha
a. Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Negeri
b. Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(6)Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira Dewan ‘Ulamak PAS Negeri dan membentangkan penyata itu kepada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.

(7)Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak
a. Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
b. Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan ‘Ulamak PAS Negeri.
c. Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Kawasan dan Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan Pilihanraya.

((8) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan ‘Ulamak PAS dalam negerinya.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan ‘Ulamak PAS Negeri.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Negeri atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(9) Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja
(a) Menyatukan tenaga dan kegiatan ‘Ulamak-’Ulamak PAS Negeri.
(b) Menubuhkan Dewan ‘Ulamak PAS Kawasan dengan kerjasama Dewan ‘Ulamak PAS Pusat, Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan.
(c) Menyelaras gerakan dan pentadbiran Dewan ‘Ulamak PAS Kawasan-kawasan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri.
(d) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan ‘Ulamak-’Ulamak melalui kegiatan-kegiatan belia sambil berusaha membentuk keperibadian mereka supaya menjadi ‘Ulamak yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
(e) Membentuk Lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

No comments:

Post a Comment