MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN

FASAL 43 (Fasal lama 37). Dewan ‘Ulamak PAS Pusat

(1) Sebuah Dewan ‘Ulamak PAS Pusat iaitu dewan yang tertinggi dalam PAS hendaklah ditubuhkan melalui Muktamar Tahunannya.

(2) Pejabat bagi Dewan ‘Ulamak PAS Pusat ialah sepertimana yang telah dinyatakan dalam Fasal 39(1) Perlembagaan ini.

(3) Ahli bagi Dewan ‘Ulamak ialah tuan-tuan guru atau/dan siswazah-siswazah lulusan apa-apa bidang pengajian Islam dari mana-mana Institusi Pengajian Tinggi atau mana-mana orang yang pengajian Islam yang telah menjadi ahli PAS.

(4) Dewan ‘Ulamak PAS Pusat hendaklah menyedia dan menyimpan sebuah buku besar daftar ahli yang dicatatkan di dalamnya butir-butir, Nama, No.Kad Pengenalan, Alamat, Pekerjaan, Kelulusan Pengajian dan Nombor Sijil Keahliannya dalam PAS. Buku itu hendaklah disimpan di Pejabat Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.


FASAL 44 (Fasal lama 38). Muktamar Dewan ‘Ulamak PAS Pusat

(1) Muktamar Dewan ‘Ulamak PAS Pusat hendaklah diadakan sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya dalam bulan April atau mana-mana tarikh yang terdahulu sedikit dari tarikh Muktamar Tahunan PAS, atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat. Satu notis hendaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarikh muktamar hendak diadakan.

(2) Muktamar Khas Dewan ‘Ulamak PAS Pusat bolehlah diadakan beberpa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat atau satu pertiga daripada Dewan ‘Ulamak PAS Kawasan. Maka Muktamar Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan.

(3) Ahli-ahli bagi Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak itu ialah:
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(c) Ketua-Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri atau timbalannya atau Naibnya dengan kebenaran bersurat jika Ketuanya atau Timbalan berhalangan.
(d) Ketua Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan atau Naibnya jika Ketua berhalangan atau Seorang Ahli Jawatankuasa Urusan 'Ulamak Kawasan yang diwakilkan secara bersurat jika Ketua atau Naibnya berhalangan.
(e) Tidak lebih tiga orang wakil yang diangkat dan dilantik Jawatankuasa Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan.

(4) Satu perdua daripada ahli-ahli Muktamar di atas hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan Muktamar itu.

(5) Pengerusi bagi Muktamar itu ialah Pengerusi Tetap dan/atau Timbalannya.

(6) Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap hendaklah dipilih dua tahun sekali atau pada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak yang ada pemilihannya.

(7) Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat berkuasa mengangkat 20 wakil ke Muktamar Tahunan PAS mengikut Fasal 18(2)(g).


FASAL 45 (Fasal lama 39). Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat

(1) Adapun Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat itu ialah:
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Seorang Setiausaha
(e) Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setiausaha
(f) Seorang Bendahari
(g) Seorang Ketua Penerangan
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak
(i) Tidak lebih daripada lapan belas orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan dua pertiga daripada Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada Muktamar Tahunan Dewan 'Ulamak PAS Pusat yang ada pemilihannya daripada 'Ulama-'Ulamak yang telah menjadi ahli PAS.

(3) Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak dan satu pertiga daripada Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua daripada ‘Ulamak-’Ulamak di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan 'Ulamak PAS Pusat daripada 'Ulamak-ulamak yang telah menjadi ahli PAS dan akan memegang jawatannya selama dua tahun atau sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan "Ulamak PAS Pusat yang ada pemilihannya, sehingga dia berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan 'Ulamak PAS Pusat dengan apa-apa jua sebab.

(4) Jika sekiranya Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat itu berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun, maka Timbalanya hendaklah memangku Jawatan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS yang akan datang yang ada padanya pemilihan. Jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Ketuanya hendkalah dilantik memangku Jawatan Ketuanya dan seorang daripada Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan itu dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga ke Muktamar Tahunan yang akan dating yang ada pemilihan. Dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan itu hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan itu di dalam dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Mukatamr Tahunan yang ada pemilihannya. Dan di tempat mereka yang mereka dikosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua ‘Ulamak yang telah menjadi ahli PAS.

(5) Tiap-tiap seorang daripada Jawatankuasa yang disebut dalam ceraian (1) Fasal ini boleh memohon berhenti daripada jawatannya dengan menulis surat kepada Setiausaha atau Ketua, dan permintaannya itu boleh diluluskan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ini apabila ia berpuashati dengan sebab-sebab keberhentian itu.

(6) Jawatankuasa Dewan ‘Ulamak PAS Pusat hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua atau dengan permintaan bersurat tidak kurang daripada satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

(7) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir, dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat itu ialah tiga orang daripada ahli-ahlinya hadir.

(8) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankausa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(9) Ketua, atau Timbalannya jika Ketua itu berhalangan, hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan itu.

(10) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Dewan itu dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.

(11) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab ke atas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan urusan-urusan biasa Dewan ‘Ulamak PAS.
(b) Menimbangkan sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut Pecahan(a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklum dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.


FASAL 46 (Fasal lama 40). Tugas-tugas Dewan ‘Ulamak PAS Pusat
(1) Ketua
(a) Bertanggungjawab mengetuai kesempurnaan perjalanan pentadbiran, gerakan dan kegiatan Dewan ‘Ulamak PAS dalam negara ini.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Penolong-Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankausa Kerja yang dilantik menurut Perlembagaan ini dengan pesetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat apabila Ketua dan Timbalan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat berhalangan atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.

(5) Penolong Setiausaha
(a) Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(b) Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.

(6) Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan membentangkan penyata itu kepada Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.

(7) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan ‘Ulamak PAS.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan ‘Ulamak PAS.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(8) Pengarah Pilihanraya ‘Ulamak
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan ‘Ulamak PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawabmelaporkan kepada Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihanraya.

(7) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja
(a) Menyatupadukan tenaga dan fikiran ‘Ulamak PAS di seluruh negara.
(b) Membantu Badan Perhubungan PAS Negeri menubuhkan Dewan ‘Ulamak PAS Negeri, dan membantu Dewan ‘Ulamak PAS Negeri menubuhkan Dewan ‘Ulamak PAS Kawasan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan.
(c) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan ‘Ulamak melalui kegiatan belia sambil berusaha membentuk keperibadian mereka supaya menjadi ‘Ulamak yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cita-cita yang diperjuangkan oleh PAS.
(d) Membentuk lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.
(e) Mengangkat wakil ke Muktamar Khas PAS yang disebut dalam Fasal 18 Perlembagaan ini, jika wakil yang diangkat oleh Muktamar Tahunan Dewan ‘Ulamak PAS Pusat tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini.

No comments:

Post a Comment