MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN (samb.4)

Fasal 63 (Fasal 56 lama). Dewan Muslimat PAS Pusat

(1) Sebuah Dewan Muslimat PAS Pusat hendaklah ditubuhkan melalui Muktamarnya.
(2) Pejabat bagi Dewan Muslimat PAS Pusat itu ialah sepertimana yang dinyatakan dalam Fasal 39(1) Perlembagaan ini.

(3) Muslimat-muslimat yang telah menjadi PAS dengan sendirinya menjadi Ahli bagi Dewan Muslimat PAS.

(4) Sebuah buku besar daftar ahli bagi Dewan itu yang dicatatkan di dalamnya, Nama, Nombor Kad Pengenalan, Alamat, Pekerjaan dan Nombor Sijil Keahliannya dalam PAS hendaklah disedia dan disimpan oleh Setiausaaha Dewan itu di Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat.

(5) Bayaran pendaftaran untuk ahli Dewan ini ialah sebanyak RM 5.00 bagi tiap-tiap seorang. Kutipan bayaran pendaftaran itu hendaklah diperuntukan sebanyak lima puluh peratus kepada Dewan Muslimat PAS Pusat, dua puluh peratus kepada Dewan Muslimat Negeri dan tiga puluh peratus kepada Dewan Muslimat Kawasan.


FASAL 64 (FASAL 57 lama). Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat

(1) Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat hendaklah diadakan sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya dalam bulan April pada tiap-tiap tahun atau mana-mana tarikh yang terdahulu sedikit dari Muktamar Tahunan PAS, atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat. Satu notis hendaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarikh Muktamar hendak diadakan.

(2) Muktamar Khas Dewan Muslimat PAS Pusat bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat atau satu pertiga daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan. Maka Muktamar Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa perkara selain daripada yang kerananya Muktamar itu diadakan.

(3) Ahli bagi Muktamar Tahunan Dewan Muslimat itu ialah :
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat.
(c) Ketua-Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri atau Timbalannya atau Naibnya dengan kebenaran bersurat jika Ketua atau Timbalan Ketua berhalangan.
(d) Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan atau timbalannya atau Naibnya dengan kebenaranan bersurat jika Ketua atau timbalan Ketua berhalangan.
(e) Tidak lebih toga orang wakil yang dipilih dan diangkat Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan.

(4) Cukup bilang bagi menjalankan Muktamar itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya yang di atas hadir.

(5) Pengerusi bagi Muktamar itu ialah Pengerusi Tetap, jika ia berhalangan, maka Timbalannya hendaklah mempengerusikan Muktamar itu.

(6) Pengerusi Tetap dan Timbalannya Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat itu hendaklah dipilih dan dilantik pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS yang ada pemilihan daripada Muslimat-muslimat yang telah menjadi ahli PAS.

(7) Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat berkuasa mengangkat 20 wakil ke Muktamar tahunan PAS mengikut Fasal 18(2)(h).


Fasal 65 (Fasal 58 lama). Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat

(1) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat itu adalah terdiri dari :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Seorang Setiausaha
(e) Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setisauaha
(f) Seorang Bendahari
(g) seorang Ketua Penerangan
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya Muslimat, dan
(i) Tidak lebih daripada lima belas orang Ahli Jawatankuasa Kerja Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Tahunannya yang ada pemilihan daripada Muslimat-muslimat ahli PAS.

(3) Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha,Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Muslimat dan satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua daripada Muslimat-muslimat PAS di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa kerja Dewan itu, dan akan memegang jawatannya selama dua tahun atau sehingga kepada Muktamar Tahunan PAS yang akan datang yang ada pemilihan, atau sehingga ia berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua pun dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS itu.

(4) Jika sekiranya Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun, maka Timbalan Ketuanya hendaklah mengaku jawatan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan datang yang ada pemilihannya. Dan jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun maka Naib Ketuanya hendaklah dilantik memangku jawatan ketuanya dan seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan datang yang ada padanya pemilihan dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan dating yang ada pemilihannya. Dan di tempat mereka yang mereka kosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua muslimat yang telah menjadi ahli PAS.

(5) Tiap-tiap seorang daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS itu bolehlah memohon berhenti dengan menghantar surat kepada Ketua atau Setiausaha serta menyata sebab-sebab keberhentiannya bagi ditimbang dan diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

(6) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat hendaklah mengadakan mesyuaratnya tidak kurang dari tiga kali dalam setahun, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua, atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang dari satu pertiga dari jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan itu semua.

(7) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-penolong Setiasuaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya muslimat adalah dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat.

(8) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan Muslimat PAS Pusat dan urusan-urusan biasa Dewan ini.
(b) Menimbangkan sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepada oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut pecahan (a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklum dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat.

(9) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir, dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan itu ialah tiga orang daripada ahli-ahlinya hadir.

(10) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(11) Ketua hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan itu, dan jika ia berhalangan, maka Timbalannya hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat tersebut.


FASAL 66 (FASAL 59 lama). Tugas-tugas Dewan Muslimat PAS Pusat

(1) Ketua
(a) Bertanggungjawab mengetuai kesempurnaan perjalanan pentadbiran gerakan dan kegiatan Dewan Muslimat PAS dalam negara ini.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Penolong-penolong Setiasuaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Muslimat dan Ahli-ahli Jawatankuasa kerja yang dilantik menurut peruntukan Perlembagaan ini dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankausa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Muslimat PAS Pusat apabila Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berhalangan atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat dan pengambilan kakitangan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Pusat.

(5) Penolong Setiausaha
(a) Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat.

(6) Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira Dewan Muslimat PAS Pusat dan membentangkan penyata itu kepada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan Muslimat PAS Pusat.

(7) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan Muslimat PAS.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaras program dan kegiatan penerangan Muslimat PAS.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(8) Pengarah Pilihanraya Muslimat
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan Muslimat PAS Pusat.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan Muslimat PAS Pusat.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihanraya.

(9) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja
(a) Menyatukan tenaga, fikiran dan pandangan muslimat-muslimat PAS dalam negara ini.
(b) Membantu Perhubungan PAS Negeri menubuhkan Dewan Muslimat Negeri, dan Dewan Muslimat Negeri menubuhkan Dewan Muslimat PAS Kawasan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan.
(c) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan kewanitaan sambil membentuk keperibadian mereka menjadi muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
(d) Membentuk lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu. (Pindaan 2009)
(e) Mengangkat wakil ke Muktamar Khas PAS yang disebut dalam Fasal 18 Perlembagaanini, jika wakil yang diangkat oleh Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini. (Pindaan 2009)

No comments:

Post a Comment