MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KESEPULUH: DARIHAL DEWAN-DEWAN (samb.5)

FASAL 67 (FASAL 60 lama). Dewan Muslimat PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan

(1) Sebuah Dewan Muslimat PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan yang kemudiannya disebut ‘Dewan Muslimat PAS Negeri’ sahaja hendaklah ditubuhkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Pusat yang dianggotai oleh muslimat-muslimat PAS sepertimana yang disebutkan dalam Fasal 63(3) Perlembagaan.

(2) Pejabat bagi Dewan Muslimat PAS Negeri itu ialah sepertimana yang telah disebutkan di dalam Fasal 39(2) Perlembagaan ini.

(3) Sebuah buku daftar ahli bagi Dewan Muslimat PAS Negeri yang dicatatkan di dalamnya, Nama, Nombor Kad Pengenalan, Alamat, Pekerjaan dan Nombor Sijil Keahliannya dalam PAS hendaklah disediakan oleh Setiausaha dan disimpan di Pejabat Dewan Muslimat PAS Negeri itu.


FASAL 68 (FASAL 61 lama). Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri

(1) Dewan Muslimat PAS Negeri hendaklah mengadakan Muktamar Tahunannya sekali dalam setahun sebelum daripada berkangsungnya Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat, atau pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan itu. Sati notis hemdaklah dihantar kepada ahli tidak kurang 14 hari daripada tarikh muktamar hendak diadakan.

(2) Muktamar Khas Dewan Muslimat PAS Negeri bolehlah diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri atau dengan permintaan satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri atau satu pertiga daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan dalam negeri itu. Maka Muktamar Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa perkara selain daripada perkara yang kerananya Muktamar itu diadakan. (Baru)

(3)(2 lama) Ahli bagi Muktamar Tahunan/Khas Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri itu ialah :
(a) Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
(b) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri.
(c) Ketua-ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan atau Timbalan atau Naibnya jika Ketua dan Timbalannya berhalangan.
(d) Tidak lebih dari tujuh orang wakil yang dipilih dan diangkat oleh mesyuarat agung tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan.

(4) Cukup bilang bagi menjalankan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya yang di atas hadir.

(5) Pengerusi bagi Muktamar itu ialah Pengerusi Tetap atau Timbalannya yang dipilih pada tiap-tiap dua tahun sekali, atau pada mana-mana Muktamar Tahunan Dewan itu yang ada pemilihannya.


FASAL 69 (FASAL 62 lama). Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri

(1) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri itu adalah terdiri dari :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Timbalan Ketua
(c) Seorang Naib Ketua
(d) Setiausaha
(e) Tidak lebih daripada tiga orang Penolong Setiausaha
(f) Seorang Bendahari
(g) Seorang Ketua Penerangan
(h) Seorang Pengarah Pilihanraya Muslimat
(i) Tidak lebih daripada lima belas orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan dua pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri daripada Muslimat-Muslimat PAS Negeri itu pada tiap-tiap dua tahun sekali atau pada mana-mana Muktamar Dewan itu yang ada pemilihannya.

(3) Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Muslimat dan satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa yang disebutkan dalam ceraian (1)(i) Fasal ini hendaklah dilantik oleh Ketua di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu, dan akan memegang Jawatan selama dua tahun, atau sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat yang akan datang yang ada pemilihan, atau sehingga ia berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(4) “Jika sekiranya Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri itu berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun, maka Timbalannya hendaklah memangku Jawatan Ketua itu sehingga kepada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri yang akan dating yang ada pemilihannya, jika sekiranya kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Ketuanya hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketuanya dan seorang dari Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri hendaklah dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan itu dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri oleh Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri sehingga kepada Muktamar Tahunan akan datang yang ada pemilihan. Dan jika Naib Ketuanya juga berhenti atau diberhentikan maka seorang daripada Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri hendaklah dilantik memangku Jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri dan seorang dilantik memangku Jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri dan seorang dilantik memangku Jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri oleh Jawatankuasa Kerja Dewan itu sehingga kepada Muktamar Tahunan yang akan dating yang ada pemilihannya. Dan di tempat yang mereka kosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu daripada mana-mana jua muslimat yang telah menjadi ahli PAS dalam negeri itu.

(5) Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri hendaklah mengadakan mesyuaratnya tidak kurang dari tiga kali dalam setahun, atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua, atau dengan permintaan bersurat daripada tidak kurang dari satu pertiga dari jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Negeri itu.

(6) Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Muslimat adalah dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri.

(7) Adapun Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri mempunyai tugas-tugas berikut:
(a) Bertanggungjawab keatas kesempurnaan pentadbiran dan perjalanan Dewan Muslimat PAS Negeri dan urusan-urusan biasa Dewan ini.
(b) Menimbang sesuatu perkara yang mustahak dan terpaksa disegerakan.
(c) Mengadakan hubungan dan diplomasi dengan pelbagai pihak di peringkat Dewan ini selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar parti.
(d) Melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diperturunkan kepadanya oleh mesyuarat Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri.
(e) Semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut pecahan (a), (b) dan (c) Ceraian ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri.

(8) Cukup bilang bagi menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu ialah satu perdua daripada ahli-ahlinya hadir dan cukup bilang bagi mengadakan ahli-ahlinya hadir dan cukup bilang bagi mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Harian itu ialah lima orang daripada ahli-ahlinya hadir.

(9) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha Dewan itu.

(10) Ketua hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan itu dan jika ia berhalangan maka Timbalannya hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat tersebut.

(11) Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri adalah dengan sendirinya menjadi Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri itu.


FASAL 70 (FASAL 63 lama). Tugas-tugas Am Dewan Muslimat PAS Negeri

(1) Ketua
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan pentadbiran gerakan dan kegiatan Dewan Muslimat PAS dalam negerinya.
(b) Mengambil segala langkah yang perlu bagi menjaga dan memelihara perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri dalam menjalankan tugas masing-masing.
(c) Melantik Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya Muslimat dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik menurut peruntukan Perlembagaan ini dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri.
(d) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri.

(2) Timbalan Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri apabila Ketua Dewan berhalangan atau tidak hadir.
(c) Menggantikan Ketua sebagai Ahli Perhubungan PAS Negeri dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri jika Ketua dilucutkan jawatannya mengikut Fasal 40(16) Perlembagaan ini.

(3) Naib Ketua
(a) Membantu tugas-tugas Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri apabila Ketua dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri berhalangan atau tidak hadir.

(4) Setiausaha
(a) Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Bertanggungjawab atas kesempurnaan dan perlaksanaan pentadbiran Pejabat Dewan Muslimat PAS Negeri dan pengambilan kakitangannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri.
(c) Bertanggungjawab atas kesempurnaan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri.

(5) Penolong-Penolong Setiausaha
(a) Bertanggungjawab kepada Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Membantu tugas-tugas Setiausaha dalam urusan pentadbiran Pejabat Dewan Muslimat PAS Negeri.

(6) Bendahari
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kewangan Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Bertanggungjawab menyediakan penyata tahunan kewangan untuk diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira Dewan Muslimat PAS Negeri dan membentangkan penyata itu kepada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri.
(c) Menyediakan rancangan-rancangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Dewan Muslimat PAS Negeri.

(7) Ketua Penerangan
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan kegiatan dakwah dan penerangan Muslimat PAS dalam negerinya.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan program dan kegiatan penerangan Muslimat PAS Negeri.
(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Ketua dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri atas segala tindakan dan usaha yang dijalankan berhubung dengan kegiatan dakwah dan penerangan.

(8) Pengarah Pilihanraya Muslimat
(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihanraya Dewan Muslimat PAS Negeri.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihanraya Dewan Muslimat PAS Negeri.
(c) Bertanggingjawab melaporkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Negeri atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihanraya.

(9) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja
(a) Menyatukan tenaga dan kegiatan muslimat PAS Negeri.
(b) Menyelaras gerakan dan pentadbiran Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri.
(c) Meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan kewanitaan sambil membentuk dan memupuk keperibadian mereka supaya menjadi muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta menyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
(d) Menubuhkan Dewan Muslimat PAS Kawasan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri dan PAS Kawasan.
(e) Membentuk lajnah-lajnah yang difikirkan perlu dan melantik ahli-ahlinya di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan itu.

No comments:

Post a Comment