MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KETUJUH: JAWATANKUASA KERJA (samb.1)

FASAL 28 (Fasal lama 24). Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan

(1) Adapun Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu ialah :
(a) Seorang Yang Dipertua PAS Kawasan
(b) Seorang Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan
(c) Seorang Naib Yang Dipertua PAS Kawasan
(d) Seorang Ketua Urusan ’Ulamak
(e) Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan
(f) Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan
(g) Seorang Setiausaha Kawasan
(h) Tidak lebih tiga Penolong Setiausaha Kawasan
(i) Seorang Bendahari Kawasan
(j) Seorang Ketua Penerangan Kawasan
(k) Seorang Pengarah Pilihanraya
(l) Tidak lebih daripada dua puluh empat orang dan tidak kurang daripada dua belas orang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Biasa.

(2) Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua dan Ketua Urusan ‘Ulamak PAS Kawasan itu hendaklah dipilih dan dilantik tiap-tiap dua tahun sekali daripada ahli-ahli PAS Kawasan itu dalam mesyuarat agung tahunan yang ada pemilihannya.

(3) Dua orang daripada Ketua Dewan-dewan itu ialah Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan yang dipilih dan dilantik dalam mesyuarat agung Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan yang diadakan sebelum mesyuarat agung PAS Kawasan itu.

(4) Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya PAS Kawasan hendaklah dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, dan akan memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang akan dating atau sehingga ia meletakkan jawatan atau dengan apa-apa jua sebab yang menghalang bagi pemegang jawatan-jawatan itu dari menjalankan tugas yang ditentukan kepadanya.

(5) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam ceraian (1)(j) Fasal ini hendaklah dua pertiga daripadanya dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada tiap-tiap dua tahun sekali dan satu pertiga daripadanya dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan daripada ahli-ahli PAS dalam Kawasan itu, dan mereka hendaklah memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang akan datang atau sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(6) (a) Tiap-tiap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam ceraian (1) Fasal ini kecuali Ketua-ketua Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan, bolehlah meminta berhenti daripada jawatannya dengan bersurat dan bolehlah ditimbang dan diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kawasan. Kemudian Jawatankuasa Kerja Kawasan itu bolehlah mengangkat penggantinya daripada ahli PAS dalam kawasan itu.
(b) Ketua-ketua Dewan bolehlah meminta berhenti daripada Jawatankuasa Kerja Dewan-dewan Kawasan itu, dan memberitahu keberhentiannya itu kepada Setiausaha PAS Kawasan untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dalam mesyuarat atau dengan surat pekeliling, dan selama jawatan itu belum dipenuhkan, maka Timbalannya bolehlah menduduki tempat di dalam Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.
(c) Setiausaha PAS Kawasan bolehlah meminta berhenti dengan menyatakan kehendak itu dengan bersurat kepada Yang Dipertua Kawasan itu sebelum tarikh yang ia hendak berhenti itu, Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan bolehlah meluluskan permintaan itu.
(d) Setiausaha PAS Kawasan yang dipecat sebagai ahli Perhubungan PAS Negeri mengikut Fasal 40(16) Perlembagaan ini dengan sendirinya terlucut jawatan sebagai Setiausaha PAS Kawasan, dan Yang Dipertua PAS Kawasan hendaklah melantik mana-mana ahli PAS dalam Kawasan itu sebagai Setiausaha PAS Kawasan mengikut Ceraian (4) Fasal ini. (Pindaan 2010)

(7) Jika sekiranya Yang Dipertua PAS Kawasan itu berhenti atau diberhentikan atau apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada dapat menunaikan tugasnya, maka Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan itu hendaklah menjalankan tugas dan kerja-kerjanya sehingga kepada Mesyuarat Agung Kawasan yang akan datang yang apa padanya pemilihan, jika kedua-duanya berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebabpun, maka Naib Yang Dipertua hendaklah dilantik memangku jawatan Yang Dipertua dan seorang dari Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan hendaklah dilantik memangku jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan sehingga ke mesyuarat Agung Kawasan yang akan dating yang ada pemilihan. Dan di tempat mereka yang mereka kosongkan bolehlah dilantik gantinya oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu daripada mana-mana jua ahli PAS di Kawasan itu.

(8) Dengan tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam ceraian (2), (3), (4), (5) dan (6) di atas, maka Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan adalah berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan daripada menjalankan kerja-kerjanya pada/atau dalam masa yang ditentuka. Akan tetapi tidaklah boleh diberhentikan seseorang Ahli Jawatankuasa itu melainkan dengan persetujuan sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.

(9) Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu, atau pada sebarang masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa itu yang meminta dengan bersurat kepada Setiausaha PAS Kawasan itu dan menyatakan sebab-sebabnya.

(10) Satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

(11) Adapun seseorang Ahli Jawatankausa Kerja PAS Kawasan itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja jika gagal hadir mesyuarat
sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha PAS Kawasan.
[Pindaan 2009]

(12) Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Ketua Urusan ‘Ulamak, Ketua Dewan Pemuda, Ketua Dewan Muslimat,Setiausaha, Penolong-penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya PAS dalam Kawasan adalah dengan sendirinya menjadi Jawatankuasa Harian kawasan itu.

(13) Tujuh orang dari jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa Harian itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

(14) Jawatankuasa ini hendaklah mengadakan mesyuaratnya seberapa banyak yang boleh dan hendaklah tidak kurang daripada enam kali dalam setahun.

(15) Yang Dipertua atau Timbalannya, jika Yang Dipertua itu berhalangan, hendaklah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian PAS Kawasan itu. Jika sekiranya Yang Dipertua atau Timbalannya berhalangan juga, maka hendaklah Naibnya mempengerusikan mesyuarat itu dan jika Naibnya juga berhalangan maka hendaklah salah seorang daripada ahli-ahli yang hadir dipilih menjadi pengerusi mesyuarat itu.

No comments:

Post a Comment