MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB KEEMPAT: DARIHAL AHLI-AHLI (samb. 2)

FASAL 16 (Fasal lama 14). Hak-Hak dan Kewajipan Ahli :

(1) Hak-hak ahli ialah :

(a) Setiap ahli PAS berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti.
(b) Setiap ahli PAS berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan PAS serta Aturan dan Peraturannya.
(c) Setiap ahli PAS berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti.
(d) Setiap ahli PAS berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.
(e) Setiap ahli PAS berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.

(2) (a) Setiap ahli PAS berhak memohon berpindah Cawangan PAS dalam Kawasan PAS yang sama dan berkewajipan untuk mengemukakan satu permohonan bertulis untuk berpindah Cawangan dengan keterangan-keterangan yang perlu kepada Setiausaha PAS Kawasan yang hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan
seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan yang berkenaan itu.

(b) Setiap ahli PAS yang berpindah Cawangan itu tidak berhak memilih dan dipilih untuk memegang manamana jawatan dalam Cawangan barunya melainkan setelah mendapat akaun kelulusan berpindah Cawangan dari Setiausaha PAS Kawasan.
[Pindaan 2009]

(3) Kewajipan-kewajipan ahli :

(a) Menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa.
(b) Melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus. (c) Menghadiri mana-mana kursus-kursus, tamrin-tamrin atau perhimpunan-perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan.
(d) Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam.
(e) Memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti samada di dalam atau di luar negeri. (f) Pada amnya melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.

(4) (a) Setiap ahli PAS berhak memohon berpindah Kawasan PAS dan berkewajipan untuk mengemukakan satu permohonan bertulis untuk berpindah Kawasan dengan keterangan-keterangan yang perlu kepada Setiausaha Agung yang hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dengan seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan yang berkenaan itu.

(b) Setiap ahli PAS yang berdaftar terus ke Pejabat Agung juga berhak memohon menjadi ahli sesebuah Kawasan PAS dengan memohon mengikut kaedah yang sama yang disebutkan dalam ceraian (4)(a) Fasal ini.

(c) Setiap ahli PAS yang berpindah Kawasan itu tidak berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam Kawasan barunya melainkan setelah mendapat akaun kelulusan berpindah Kawasan dari Setiausaha Agung.

FASAL 17 (Fasal lama 15). Buku Daftar Ahli

(1) Tiap-tiap cawangan hendaklah mempunyai sebuah buku daftar ahli cawangannya dengan membutirkan didalamnya akan nama, alamat, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nombor sijil ahli dan lain-lain syarat yang ditetapkan oleh Setiausaha Agung.

(2) Pejabat Setiausaha PAS Kawasan hendaklah juga mempunyai sebuah buku daftar ahli dalam kawasannya dan ahli-ahli daripada cawangan-cawangannya dengan membutirkan akan nama, alamat, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nombor sijil ahli dan lain-lain syarat yang ditetapkan oleh Setiausaha Agung.

(3) Pejabat Agung hendaklah menyedia dan menyimpan buku-buku daftar besar ahli PAS dengan membutirkan di dalamnya akan nama, alamat, kawasan, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan lain-lain yang difikirkan patut oleh Setiausaha Agung.

(4) Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah berkuasa membuat sebarang Aturan dan Peraturan berkenaan dengan buku daftar ahli itu.

1 comment:

  1. salam....
    Bagaimana dgn ahli yg mendaftar di ibu pejabat (Jln Raja Laut),adakah layak untuk memegang jawatan di lain2 cwagan..cth jhr..
    syukran....

    ReplyDelete