MUQADDIMAH

BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SEMALAYSIA"

Tuesday, May 12, 2009

BAB YANG KETUJUH: JAWATANKUASA KERJA (samb.3)

FASAL 31 (Fasal 26). Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan

(1) Adapun Jawatankuasa Kerja bagi sesebuah cawangan PAS itu ialah :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Naib Ketua
(c) Seorang Setiausaha
(d) Seorang Bendahari
(e) Seorang Ketua Penerangan
(f) Seorang Ketua Jawatankuasa Pemuda
(g) Seorang Ketua Jawatankuasa Muslimat
(h) Tidak lebih daripada dua belas orang dan tidak kurang daripada enam orang Ahli Jawatankuasa Biasa PAS Cawangan.

(2) Ketua, Naib Ketua, Ketua-Ketua Jawatankuasa Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan, serta dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja seperti yang disebutkan dalam ceraian (1)(h) Fasal ini hendaklah dipilih dalam mesyuarat agung tahunan daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu, dan akan memegang jawatan masing-masing sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh jawatankuasa Kerja PAS Cawanagn dengan apa-apa sebab sekalipun.

(3) Dengan tidak terikat kepada ceraian (2), sekiranya mesyuarat agung tahunan PAS mana-mana cawangan gagal melantik Ketua Jawatankuasa Pemuda atau Muslimat di atas apa-apa sebab sekalipun, maka Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu adalah berkuasa melantik Ketua Jawatankuasa Kerja Pemuda atau Muslimatnya daripada ahli-ahli Pemuda PAS atau
Muslimat PAS dalam Cawangan itu pada bila-bila masa di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu.
[Pindaan 2009]

(4) Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan serta satu pertiga daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang disebutkan dalam ceraian (1)(h) di atas hendaklah dilantik oleh Ketua Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.

(5) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan yang dilantik itu hendaklah memegang jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung tahunan yang akan datang atau sehingga ia meletakkan jawatan atau diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan dengan apa-apa sebab sekalipun.

(6) Jika Ketua Cawangan itu berhenti atau diberhentikan, maka Naibnya hendaklah memangku jawatan itu dan kekosongan pada jawatannya itu boleh diangkat seorang daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Cawangan itu sebagai pemangku Naib Ketua dan akan memegang jawatan itu sehingga ke Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan yang akan datang.

(7) Seseorang Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan bolehlah meminta berhenti daripada Jawatankuasa itu dengan menyatakan kehendaknya dengan bersurat kepada Setiausaha PAS Cawangan itu, dan permintaannya itu bolehlah diluluskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Cawangan. Dan mesyuarat itu kemudiannya bolehlah mengangkat penggantinya daripada ahli-ahli PAS dalam Cawangan itu.

(8) Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang-kurangnya tiga bulan sekali atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Ketua Cawangan atau dengan kehendak satu pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu.

(9) Satu pertiga daripada jumlah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu hadir adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya.

(10) Adapun seseorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan itu bolehlah dilucutkan jawatannya dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja jika gagal hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebarang makluman kepada Setiausaha PAS Cawangan.
[Pindaan 2009]

(11) Ketua PAS Cawangan atau jika dia berhalangan, maka Naibnya hendaklah menjadi pengerusi mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.

FASAL 32 (Fasal lama 27). Jawatankuasa Kerja Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan

(1) Bagi memajukan dan mempergiatkan lagi perjalanan dan pergerakan parti dalam bidang-bidang kepemudaan dan kewanitaan, maka Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan hendaklah membentuk dan menubuhkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan yang terdiri daripada :
(a) Seorang Ketua
(b) Seorang Naib Ketua
(c) Seorang Setiausaha
(d) Seorang Bendahari
(e) Tidak lebih daripada enam orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

(2) (a) Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan itu hendaklah dilantik daripada kalangan pemuda-pemuda ahli PAS dalam Cawangan itu yang berumur 40 tahun ke bawah oleh Ketua Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan yang pertama selepas Mesyuarat Agung PAS Cawangan yang ada pemilihan, dan hendaklah memegang jawatan masing-masing selama 2 tahun atau sehingga 2 kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan itu atau sehingga ia meminta berhenti atau, diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.
(b) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS Cawangan itu hendaklah dilantik daripada kalangan muslimat-muslimat ahli PAS dalam Cawangan itu oleh Ketua Jawatankuasa Kerja Muslimat PAS Cawangan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan yang pertama selepas Mesyuarat Agung PAS Cawangan yang ada pemilihan, dan hendaklah memegang jawatan masing-masing selama 2 tahun atau sehingga 2 kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan itu atau sehingga ia meminta berhenti atau diberhentikan dengan apa-apa jua sebab sekalipun.

(3) Jawatankuasa-jawatankuasa ini hendaklah menyediakan sebuah daftar ahli yang dicatatkan di dalamnya nama, nombor kad pengenalan, umur (bagi pemuda), pekerjaan dan nombor sijil PAS pemuda-pemuda dan muslimat dalam Cawangan itu.

(4) Jawatankuasa-Jawatankuasa ini bolehlah menjalankan kegiatannya masing-masing dengan syarat tidak berlawanan dengan dasar dan kehendak-kehendak Perlembagaan PAS dan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, serta mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan.

(5) Ketua dan Setiausaha Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Pemuda dan Muslimat PAS Cawangan dan tidak lebih dari lima orang Pemuda atau Muslimat yang dilantik oleh mesyuarat Jawatankuasanya masing-masing adalah menjadi ahli kepada Mesyuarat Agung Dewan-Dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan.

(6) Lima orang yang hadir daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa ini adalah menjadi cukup bilang bagi menjalankan mesyuaratnya masing-masing.

(7) Ketua, atau Naibnya jika Ketua Jawatankuasa-Jawatankuasa ini berhalangan hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuaratnya masing-masing.

FASAL 33 (Fasal lama 28). Tugas-tugas Jawatankuasa Kerja Cawangan

(1) Berikhtiar dengan seluas-luasnya mengembangkan pengaruh dan membanyakkan ahli-ahli PAS dalam Cawangannya.
(2) Menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh PAS dari masa ke semasa.
(3) Menyelaras dan membimbing kegiatan-kegiatan pemuda dan muslimat di cawangannya.(4) Pada amnya adalah bertanggungjawab bagi menjalankan pentadbiran cawangan dengan baik dan memajukan parti dalam lingkungan cawangannya.
(4) Pada amnya adalah bertanggungjawab bagi menjalankan pentadbiran cawangan dengan baik dan memajukan parti dalam lingkungan cawangannya.
(5) Mengangkat wakil-wakil ke Mesyuarat Agung Tahunan/Khas PAS Kawasan jika wakil yang diangkat oleh Mesyuarat Agung PAS Cawangan tidak lagi menjadi wakil mengikut Fasal 19(7) Perlembagaan ini. [Pindaan 2009]

FASAL 34 (Fasal lama 28A). Notis Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (baru)

(1) Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian yang disebut dalam Fasal 25, 28 dan 31 Perlembagaan ini.
(2) Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha ketika ketiadaannya bagi Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Harian Dewan-dewan ‘Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang disebut dalam Fasal 45, 49, 53, 57, 61, 65, 69 dan 73 Perlembagaan ini.

(3) Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Negeri ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri dan Jawatakuasa Harian Perhubungan Negeri yang disebut dalam Fasal 40 Perlembagaan ini.

(4) Dengan mengabaikan Ceraian (1), (2) dan (3) Fasal ini, mana-mana mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja yang disebut dalam Ceraian-ceraian di atas bolehlah diadakan
pada bila-bila yang dikehendaki oleh Presiden atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau Yang Dipertua PAS Kawasan atau Ketua PAS Cawangan atau Ketua Dewandewan berkenaan. Setiausaha Agung atau Setiausaha yang berkenaan hendak mengeluarkan notis mesyuarat pada bila-bila masa yang sesuai dengan apa-apa cara yang difikirkan munasabah untuk menyampaikan notis tersebut.
[Pindaan 2009]

No comments:

Post a Comment